Bersiar-siar di Kota Melaka terasa begitu menyeronokkan sekiranya kita menyusuri sepanjang sungai Melaka dengan berjalan kaki. Laluan pejalan kaki di sepanjang sungai tersebut sangat teratur dengan disediakan pelbagai kemudahan sehingga para pelancong merasa begitu selesa. Sekiranya kita merasa letih atau dahaga, kita bolehlah singgah di kedai-kedai makan dan minuman yang terletak di sepanjang laluan pejalan kaki itu untuk menjamu selera.
Sambil menikmati hidangan pagi, tengahari, petang atau malam, selera kita pasti bertambah apabila kita turut 'terhibur' dengan suasana panorama bot-bot pelancong Melaka Cruise yang lalu-lalang di sungai betul-betul di hadapan kita.
Pada petang itu, saya benar-benar terasa lapar setelah agak letih bersiar-siar di sekeliling kota bersejarah ini. Setelah beberapa puluh meter menyusuri sungai melalui trek pejalan kaki, saya pun singgah di sebuah kedai makan. Apalagi, nasi dengan lauk istimewa masakan asam pedas Melaka menjadi pilihan. Memang enak dan lazat, maklumlah tengah lapar! Air teh limau suam kegemaran saya pun terdapat di sini. Harganya walaupun terletak di kawasan pelancongan, tetap seperti harga biasa, amat berpatutan. Oleh itu, kalau sudah lapar dan dahaga, silalah singgah di kedai makan di tepian sungai ini.
Tidak jauh dari kedai makan ini pula terdapat gerai jualan cendol serta aiskrim. Tepatnya bersebelahan dengan binaan kota meriam di sebelah lubang galian artifak berdekatan replika kincir air. Bagi peminat cendol, tentu pengalaman minum cendol di tepian sungai ini menjadi ingatan yang tidak dapat dilupakan tatkala melawat Melaka.
Di tepian sungai Melaka bukan sahaja terdapat gerai dan kedai makan biasa tetapi terdapat juga restoran-restoran mewah dan sederhana yang menyediakan pelbagai menu masakan dari masakan Timur dan Barat. Kita pilih apa sahaja menu yang kita suka; yang pentingnya pengalaman menjamu selera betul-betul menghadap sungai adalah pengalaman indah yang sukar untuk dilupakan. Ada orang kata, apakah bezanya makan di tepi sungai? Cuba anda bayangkan apakah bezanya makan di rumah dengan makan di kebun dengan beralaskan daun pisang. Seleranya tentu berlainan. Panoramanya tentu berlainan. Begitulah dengan makan di sini. Bot-bot persiaran sarat dengan pelancong lalu di depan anda sambil melihat anda makan!
Ingin merasai kelazatan makanan di sini? Jom makan-makan di tebingan sungai Melaka. Pasti kenangannya tidak dapat anda lupakan!
No comments:
Post a Comment