Sesekali berkesempatan berjalan-jalan di sekitar kota Melaka, hati merasa begitu puas serta teruja dengan pembangunan pesat kota bersejarah ini. Betapa tidak, sebagai anak jati Melaka yang membesar dan merantau di negeri lain, perasaan sayang dan bangga akan negeri ini tetap tersemat di hati.
Pengisytiharan kota Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia benar-benar membanggakan negara. Bukan semua negara di dunia ini mempunyai tapak warisan dunia yang dianggap amat bersejarah. Tambahan pula Melaka menawarkan ciri budaya adat resam masyarakatnya yang serba pelbagai. Oleh kerana itulah kunjungan ke Malaysia oleh pelancong luar negara dianggap tidak sah jika tidak melawat Melaka. Kini para pelancong bukan sahaja dapat menikmati pengalaman melawat bangunan-bangunan bersejarah, muzium-muzium serta artifak-artifak bersejarah. Para pelancong kini disajikan dengan pengalaman unik menaiki bot persiaran menyusuri Sungai Melaka.
Seperkara yang paling dikagumi adalah kesungguhan Melaka membersihkan air Sungai Melaka serta menghias dekorasi dan landskap indah di sepanjang sungai tersebut. Penulis masih ingat suatu ketika dahulu sungai tersebut amat sibuk dengan bot-bot dan tongkang-tongkang nelayan. Airnya pula berwarna kehitaman berkelodak. Siapa sangka kini air Sungai Melaka sudah sedemikian 'bersih' serta dapat dilalui pula oleh bot-bot pelancong umpama di Venice!
Bersiar-siar di sekitar kompleks bersejarah kota Melaka sesungguhnya tidak membosankan. Di sekitar Banda Hilir sahaja terdapat banyak tempat tumpuan orang ramai untuk membeli-belah, sama ada barangan kraftangan, cenderahati, mahupun barangan keperluan. Terdapat juga medan-medan selera serta taman-taman rekreasi di sekitar kompleks tersebut.
No comments:
Post a Comment