Monday, 24 October 2011

Bangunan-bangunan Lama yang Bersejarah

Di Melaka terdapat begitu banyak bangunan lama yang dipulihara, dibaikpulih serta dikekalkan hingga saat ini. Bangunan-bangunan bersejarah ini menjadi ikon pelancongan bagi negeri ini kerana keberadaannya menjadi antara tarikan utama mengapa para pelancong gemar atau ingin melawat ke kota tapak warisan dunia ini.

Sebut sahaja A Famosa, Stadyurst, Bukit St Paul dan Christcurch, pasti para pelancong dalam dan luar negara kagum dengan kekukuhan bangunan-bangunan ini. Sebenarnya, terdapat keistimewaan-keistimewaan tersendiri bagi setiap bangunan lama ini jika dilihat dengan teliti.

 Contohnya bagi bangunan yang dibina semasa zaman Belanda, dinding-dindingnya dicat dengan warna merah. Bagi bangunan pada zaman Portugis pula, kekaguman terhadap batu-batu besar yang jelas kelihatan sebagai bahan binaannya sangat menarik perhatian. Di samping itu di dalam bangunan reruntuhan bekas gereja di bukit St Paul terdapat pula batu-batu yang diukir dengan tulisan-tulisan Portugis yang begitu unik.

Istimewanya, bangunan-bangunan muzium di sini hampir keseluruhannya adalah bangunan lama yang berusia ratusan tahun. Bangunan 'pintu gerbang' A Famosa yang amat terkenal di seluruh dunia itu sendiri sudah berusia hampir lima ratus tahun. Bayangkanlah dengan jangka waktu yang cukup lama itu, bangunan tersebut masih kekal hingga kini. Ianya telah menjadi monumen bersejarah yang cukup berharga.

Kewujudan bangunan-bangunan lama ini menjadi bukti bahawa Melaka pernah dijajah oleh penjajahan Barat selama lebih empat ratus tahun lamanya. Ianya juga menjadi bukti bahawa Melaka merupakan kota pelabuhan utama pada abad silam yang begitu maju serta menjadi rebutan. Perdagangan rempah pada waktu itu telah membawa bersama minat orang-orang Barat untuk menjajah serta menguasai jalan perdagangan di Timur. Perebutan penguasaan perdagangan rempah ini akhirnya telah membawa kepada keruntuhan empayar Kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511.

Sayang sekali, tanda-tanda bekas bangunan istana sultan Melaka telah hilang sama sekali kerana istana itu telah dibakar oleh pihak Portugis. Kini replika istana sultan Melaka boleh dilihat dan dilawati oleh para pelancong. Istana ini meskipun bukan istana sebenar namun bentuknya dipercayai adalah bentuk yang sama dengan bentuk asal istana sultan Melaka yang dibakar itu.

No comments:

Post a Comment