Sunday, 23 October 2011

Enaknya Sate Kerang Kampung Jawa

Pernah berjalan-jalan untuk membeli-belah di Kampung Jawa Melaka? Suatu ketika dahulu tempat ini begitu terkenal kerana mempunyai begitu banyak gerai jualan barangan keperluan harian seperti pakaian, kasut, beg, kain ela, barang kemas, pinggan mangkuk dan sebagainya.

Kini Kampung Jawa masih lagi menjadi pilihan meskipun di bandaraya Melaka telah terdapat begitu banyak tempat untuk membeli-belah. Kampung Jawa semasa zaman gemilangnya adalah tempat berkumpul untuk membeli-belah serta tempat duduk berbincang sambil menjamu selera di gerai-gerai tepi jalan dan tepian sungai Melaka. Kini keriuhan dan keramaiannya tidak seperti dahulu namun Kampung Jawa tetap hidup dalam detak nadi pembangunan pesat bandaraya Melaka.

Di Kampung Jawa terdapat sebuah gerai yang amat terkenal kerana kepelbagaian menu sate yang dijual. Ada sate perut, sate hati, sate pedal, sate kerang dan sebagainya. Namun sate keranglah yang bagi penulis begitu istimewa kerana tidak terdapat di tempat lain.

Dahulu gerai ini terletak betul-betul di tepi sungai bersebelahan dengan surau Kampung Jawa. Akibat pembangunan di tepian sungai, gerai ini akhirnya berpindah tidak jauh dari tempat asalnya tetapi lokasinya tidak lagi di tepi sungai.

Sewaktu penulis tiba di situ jam hampir menunjukan pukul lima petang. Sangkaan penulis pada awalnya tentu gerai telah ditutup. Namun syukurlah masih lagi dibuka dan kelihatan masih terdapat ramai pelanggan sedang menjamu selera. Selain sate, terdapat juga mee rebus, rojak serta mee goreng. Air pula seperti air sirap, teh tarik, teh halia, cendol, ais campur dan sebagainya.

Seingat penulis, gerai jualan sate ini telah wujud sejak puluhan tahun silam dengan tempat asalnya di pinggir sungai Melaka. Penulis masih ingat semasa masih kecil dibawa oleh ibu bapa untuk makan-makan di situ. Hari ini - setelah lebih tiga puluh tahun berlalu - penulis masih dapat menikmati sate kerang itu di sini dengan membawa keluarga - isteri dan anak penulis pula. Sesungguhnya kenangan lama di Kampung Jawa adalah suatu nostalgia yang tidak pernah luput dari ingatan.

Bagi pengunjung yang baru menjejak kaki ke sini, jangan lupa sambil membeli-belah singgahlah ke gerai ini. Rasailah sate kerang yang istimewa ini. Anda pasti teruja dengan keenakannya. Kampung Jawa pasti menjanjikan keseronokan tersendiri dalam jadual lawatan anda ke negeri Hang Tuah ini.

1 comment:

  1. Sekarang tapak gerai sate ini telah berada di tepi sungai semula seperti dahulu.

    ReplyDelete