Monday 24 October 2011

Bangunan-bangunan Lama yang Bersejarah

Di Melaka terdapat begitu banyak bangunan lama yang dipulihara, dibaikpulih serta dikekalkan hingga saat ini. Bangunan-bangunan bersejarah ini menjadi ikon pelancongan bagi negeri ini kerana keberadaannya menjadi antara tarikan utama mengapa para pelancong gemar atau ingin melawat ke kota tapak warisan dunia ini.

Sebut sahaja A Famosa, Stadyurst, Bukit St Paul dan Christcurch, pasti para pelancong dalam dan luar negara kagum dengan kekukuhan bangunan-bangunan ini. Sebenarnya, terdapat keistimewaan-keistimewaan tersendiri bagi setiap bangunan lama ini jika dilihat dengan teliti.

 Contohnya bagi bangunan yang dibina semasa zaman Belanda, dinding-dindingnya dicat dengan warna merah. Bagi bangunan pada zaman Portugis pula, kekaguman terhadap batu-batu besar yang jelas kelihatan sebagai bahan binaannya sangat menarik perhatian. Di samping itu di dalam bangunan reruntuhan bekas gereja di bukit St Paul terdapat pula batu-batu yang diukir dengan tulisan-tulisan Portugis yang begitu unik.

Istimewanya, bangunan-bangunan muzium di sini hampir keseluruhannya adalah bangunan lama yang berusia ratusan tahun. Bangunan 'pintu gerbang' A Famosa yang amat terkenal di seluruh dunia itu sendiri sudah berusia hampir lima ratus tahun. Bayangkanlah dengan jangka waktu yang cukup lama itu, bangunan tersebut masih kekal hingga kini. Ianya telah menjadi monumen bersejarah yang cukup berharga.

Kewujudan bangunan-bangunan lama ini menjadi bukti bahawa Melaka pernah dijajah oleh penjajahan Barat selama lebih empat ratus tahun lamanya. Ianya juga menjadi bukti bahawa Melaka merupakan kota pelabuhan utama pada abad silam yang begitu maju serta menjadi rebutan. Perdagangan rempah pada waktu itu telah membawa bersama minat orang-orang Barat untuk menjajah serta menguasai jalan perdagangan di Timur. Perebutan penguasaan perdagangan rempah ini akhirnya telah membawa kepada keruntuhan empayar Kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511.

Sayang sekali, tanda-tanda bekas bangunan istana sultan Melaka telah hilang sama sekali kerana istana itu telah dibakar oleh pihak Portugis. Kini replika istana sultan Melaka boleh dilihat dan dilawati oleh para pelancong. Istana ini meskipun bukan istana sebenar namun bentuknya dipercayai adalah bentuk yang sama dengan bentuk asal istana sultan Melaka yang dibakar itu.

Sunday 23 October 2011

Enaknya Sate Kerang Kampung Jawa

Pernah berjalan-jalan untuk membeli-belah di Kampung Jawa Melaka? Suatu ketika dahulu tempat ini begitu terkenal kerana mempunyai begitu banyak gerai jualan barangan keperluan harian seperti pakaian, kasut, beg, kain ela, barang kemas, pinggan mangkuk dan sebagainya.

Kini Kampung Jawa masih lagi menjadi pilihan meskipun di bandaraya Melaka telah terdapat begitu banyak tempat untuk membeli-belah. Kampung Jawa semasa zaman gemilangnya adalah tempat berkumpul untuk membeli-belah serta tempat duduk berbincang sambil menjamu selera di gerai-gerai tepi jalan dan tepian sungai Melaka. Kini keriuhan dan keramaiannya tidak seperti dahulu namun Kampung Jawa tetap hidup dalam detak nadi pembangunan pesat bandaraya Melaka.

Di Kampung Jawa terdapat sebuah gerai yang amat terkenal kerana kepelbagaian menu sate yang dijual. Ada sate perut, sate hati, sate pedal, sate kerang dan sebagainya. Namun sate keranglah yang bagi penulis begitu istimewa kerana tidak terdapat di tempat lain.

Dahulu gerai ini terletak betul-betul di tepi sungai bersebelahan dengan surau Kampung Jawa. Akibat pembangunan di tepian sungai, gerai ini akhirnya berpindah tidak jauh dari tempat asalnya tetapi lokasinya tidak lagi di tepi sungai.

Sewaktu penulis tiba di situ jam hampir menunjukan pukul lima petang. Sangkaan penulis pada awalnya tentu gerai telah ditutup. Namun syukurlah masih lagi dibuka dan kelihatan masih terdapat ramai pelanggan sedang menjamu selera. Selain sate, terdapat juga mee rebus, rojak serta mee goreng. Air pula seperti air sirap, teh tarik, teh halia, cendol, ais campur dan sebagainya.

Seingat penulis, gerai jualan sate ini telah wujud sejak puluhan tahun silam dengan tempat asalnya di pinggir sungai Melaka. Penulis masih ingat semasa masih kecil dibawa oleh ibu bapa untuk makan-makan di situ. Hari ini - setelah lebih tiga puluh tahun berlalu - penulis masih dapat menikmati sate kerang itu di sini dengan membawa keluarga - isteri dan anak penulis pula. Sesungguhnya kenangan lama di Kampung Jawa adalah suatu nostalgia yang tidak pernah luput dari ingatan.

Bagi pengunjung yang baru menjejak kaki ke sini, jangan lupa sambil membeli-belah singgahlah ke gerai ini. Rasailah sate kerang yang istimewa ini. Anda pasti teruja dengan keenakannya. Kampung Jawa pasti menjanjikan keseronokan tersendiri dalam jadual lawatan anda ke negeri Hang Tuah ini.

Saturday 22 October 2011

Seronoknya Makan-makan di Tepi Sungai Melaka

Bersiar-siar di Kota Melaka terasa begitu menyeronokkan sekiranya kita menyusuri sepanjang sungai Melaka dengan berjalan kaki. Laluan pejalan kaki di sepanjang sungai tersebut sangat teratur dengan disediakan pelbagai kemudahan sehingga para pelancong merasa begitu selesa. Sekiranya kita merasa letih atau dahaga, kita bolehlah singgah di kedai-kedai makan dan minuman yang terletak di sepanjang laluan pejalan kaki itu untuk menjamu selera.

Sambil menikmati hidangan pagi, tengahari, petang atau malam, selera kita pasti bertambah apabila kita turut 'terhibur' dengan suasana panorama bot-bot pelancong Melaka Cruise yang lalu-lalang di sungai betul-betul di hadapan kita.

Pada petang itu, saya benar-benar terasa lapar setelah agak letih bersiar-siar di sekeliling kota bersejarah ini. Setelah beberapa puluh meter menyusuri sungai melalui trek pejalan kaki, saya pun singgah di sebuah kedai makan. Apalagi, nasi dengan lauk istimewa masakan asam pedas Melaka menjadi pilihan. Memang enak dan lazat, maklumlah tengah lapar! Air teh limau suam kegemaran saya pun terdapat di sini. Harganya walaupun terletak di kawasan pelancongan, tetap seperti harga biasa, amat berpatutan. Oleh itu, kalau sudah lapar dan dahaga, silalah singgah di kedai makan di tepian sungai ini.

Tidak jauh dari kedai makan ini pula terdapat gerai jualan cendol serta aiskrim. Tepatnya bersebelahan dengan binaan kota meriam di sebelah lubang galian artifak berdekatan replika kincir air. Bagi peminat cendol, tentu pengalaman minum cendol di tepian sungai ini menjadi ingatan yang tidak dapat dilupakan tatkala melawat Melaka.

Di tepian sungai Melaka bukan sahaja terdapat gerai dan kedai makan biasa tetapi terdapat juga restoran-restoran mewah dan sederhana yang menyediakan pelbagai menu masakan dari masakan Timur dan Barat. Kita pilih apa sahaja menu yang kita suka; yang pentingnya pengalaman menjamu selera betul-betul menghadap sungai adalah pengalaman indah yang sukar untuk dilupakan. Ada orang kata, apakah bezanya makan di tepi sungai? Cuba anda bayangkan apakah bezanya makan di rumah dengan makan di kebun dengan beralaskan daun pisang. Seleranya tentu berlainan. Panoramanya tentu berlainan. Begitulah dengan makan di sini. Bot-bot persiaran sarat dengan pelancong lalu di depan anda sambil melihat anda makan!

Ingin merasai kelazatan makanan di sini? Jom makan-makan di tebingan sungai Melaka. Pasti kenangannya tidak dapat anda lupakan!

Thursday 20 October 2011

Kota Bersejarah Taman Pelancongan

Sesekali berkesempatan berjalan-jalan di sekitar kota Melaka, hati merasa begitu puas serta teruja dengan pembangunan pesat kota bersejarah ini. Betapa tidak, sebagai anak jati Melaka yang membesar dan merantau di negeri lain, perasaan sayang dan bangga akan negeri ini tetap tersemat di hati.

Pengisytiharan kota Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia benar-benar membanggakan negara. Bukan semua negara di dunia ini mempunyai tapak warisan dunia yang dianggap amat bersejarah. Tambahan pula Melaka menawarkan ciri budaya adat resam masyarakatnya yang serba pelbagai. Oleh kerana itulah kunjungan ke Malaysia oleh pelancong luar negara dianggap tidak sah jika tidak melawat Melaka. Kini para pelancong bukan sahaja dapat menikmati pengalaman melawat bangunan-bangunan bersejarah, muzium-muzium serta artifak-artifak bersejarah. Para pelancong kini disajikan dengan pengalaman unik menaiki bot persiaran menyusuri Sungai Melaka.

Seperkara yang paling dikagumi adalah kesungguhan Melaka membersihkan air Sungai Melaka serta menghias dekorasi dan landskap indah di sepanjang sungai tersebut. Penulis masih ingat suatu ketika dahulu sungai tersebut amat sibuk dengan bot-bot dan tongkang-tongkang nelayan. Airnya pula berwarna kehitaman berkelodak. Siapa sangka kini air Sungai Melaka sudah sedemikian 'bersih' serta dapat dilalui pula oleh bot-bot pelancong umpama di Venice!

Bersiar-siar di sekitar kompleks bersejarah kota Melaka sesungguhnya tidak membosankan. Di sekitar Banda Hilir sahaja terdapat banyak tempat tumpuan orang ramai untuk membeli-belah, sama ada barangan kraftangan, cenderahati, mahupun barangan keperluan. Terdapat juga medan-medan selera serta taman-taman rekreasi di sekitar kompleks tersebut.